comscore
Tumpuan :
Sukan

Kelab Jepun pinjam bintang muda Selangor

Muhammad akan menyertai Osaka bermula bulan ini.

KUALA LUMPUR: Bintang muda Selangor FC (SFC), Muhammad Abu Khalil sah akan menyertai kelab Jepun, FC Osaka secara pinjaman.

Muhammad akan menyertai kelab yang beraksi dalam Liga J3 itu bermula bulan ini apabila menerima tawaran selepas tamat menjalani sesi percubaan pada 24 Jun sehingga 2 Julai lalu.

Pemain berusia 19 tahun itu beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu sebagai pemain utama dan membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super bersama skuad senior Gergasi Merah pada tahun sama.

Dia juga mendapat panggilan skuad kebangsaan bawah 23 tahun dalam saingan Piala Asia untuk dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.

“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.

“Ini peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari.

“Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar,” katanya di laman rasmi Selangor FC.

FC Osaka kini berada di tempat ketiga Liga J3, berkongsi 31 mata bersama pasukan tangga kedua, Azul Claro Numazu.

Berdasarkan kenyataan Selangor FC di laman rasmi kelab itu, Osaka menyatakan mereka menaruh harapan kepada kemampuan Muhammad terutamanya untuk bahagian serangan selepas dia menjaringkan beberapa gol ketika sesi percubaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini