comscore
Tumpuan :
Sukan

Kelab futsal Gombak TOT United dihimpit isu tunggakan gaji lebih RM330,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja kelab dalam saingan Liga Malaysia berdepan isu tunggakan gaji, namun kini ‘penyakit’ sama turut berjangkit dalam saingan Divisyen 1 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini iaitu Gombak TOT United.

Perkara itu didedahkan peguam undang-undang sukan, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid yang mewakili barisan pemain dan jurulatih pasukan itu selepas pasukan berkenaan berdepan tunggakan gaji lebih RM330,000.

Jelas Syed Nur Aiman, pasukan itu berdepan tunggakan gaji empat bulan bagi pemain tempatan membabitkan jumlah lebih RM164,000; dua pemain importnya berjumlah lebih RM80,000 serta lebih RM92,000 untuk jurulatih membabitkan tunggakan lima bulan.

“Bukan sahaja tidak mendapat gaji tetapi pasport pemain import pasukan itu turut ditahan dan sehingga kini, dia tidak boleh pulang ke Brazil. Malah, penerbangan pulang juga tidak disediakan.

“Jadi kami sudah mengemukakan tuntutan kepada pengurusan Gombak TOT United pada 15 dan 16 Oktober dengan tempoh masa 10 hari diberikan kepada mereka untuk menyelesaikan semua isu terbabit.

“Jika mereka gagal, kita akan membawa kes ini kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk jurulatih dan Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) untuk pemain-pemain tempatan bagi menuntut keseluruhan jumlah tertunggak terbabit termasuk faedah.

“Bagi kes pemain import pula, kita akan panjangkan kepada Tribunal Bolasepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” kata Syed Nur Aiman.

Sebagai rekod, Gombak TOT United menamatkan saingan Divisyen 1 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada musim ini di tangga keenam daripada lapan pasukan bertanding.

Terdahulu, seorang bekas pemilik kelab bola sepak bergelar Datuk Seri ditahan selepas didakwa ingkar perintah mahkamah supaya membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta.

Jumlah tunggakan gaji itu membabitkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab pada 2018.

Lelaki berkenaan difahamkan ditahan selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan satu kes penipuan lain di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini