BUTTERWORTH: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya isu yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) dapat diselesaikan dengan baik.
Sambil meminta semua pihak tidak risau mengenai perkara itu, Hannah berkata Jawatankuasa Road to Gold (RTG) juga akan mengadakan mesyuarat untuk melihat dan mengkaji permintaan jaguh itu sekali gus menjayakan hasrat negara meraih pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
“Mesyuarat ini akan berlangsung minggu depan dan semua hasrat atlet terpilih ini akan dikaji oleh Jawatankuasa RTG dan saya juga telah hubungi (Datuk) Azizul menerusi koordinator kita, Datuk Stuart Ramalingam.
“Kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita bagi pastikan peluang Malaysia dapat pingat emas itu cerah. Jangan risau,” kata Hannah pada Majlis Pelancaran Program Malaysia Aktif@Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini hari ini.
Baru-baru ini Datuk Azizulhasni meluahkan kekecewaan terhadap MSN berikutan kegagalan badan itu menyediakan sistem sokongan lengkap selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai pada awal tahun ini.
Beliau berkata beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
Atlet berusia 35 tahun itu yang memenangi pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, berkata walaupun beliau menerima keputusan MSN untuk memindahkan pusat latihan dengan hati terbuka, namun kepulangannya ke tanah air tidak disertai dengan sistem sokongan lengkap dan bertaraf dunia.