comscore
Tumpuan :
Sukan

Kejuaraan B-19 Asean 2024: Malaysia mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan C

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mara ke separuh akhir Kejuaraan Bawah (B-19) Asean 2024 selaku juara kumpulan C apabila bangkit mengikat Thailand 1-1 di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya, petang tadi.

Satu mata itu sudah cukup untuk meletakkan skuad kendalian Juan Torres Garrido kekal di kedudukan teratas kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan sekalipun berkongsi tujuh mata dengan Thailand di kedudukan kedua.

Skuad B-19 kebangsaan yang turun selaku juara bertahan terlebih dahulu ketinggalan pada babak pertama selepas Thailand menyingkap gol pembukaan menerusi jaringan Caelan Tanadon, seawal minit keempat.

Tersentak, Malaysia kembali memperkemas permainan dan hasilnya gol penyamaan skuad muda negara tercipta selepas rehat melalui sepakan penalti G. Pavithran pada minit ke-47.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat permainan.

Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan selepas melakar dua kemenangan dan satu seri dalam kumpulan C.

Selaku juara kumpulan, Malaysia dijadual menentang tuan rumah, Indonesia pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya, Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini