BANGKOK: Skuad lelaki kebangsaan memilih laluan berliku selepas diikat Indonesia 2-2 pada perlawanan kelima Kejohanan Hoki Dewan Piala Asia 2022.
Ia menyaksikan Malaysia kini terikat 10 mata dengan Kazakhstan di tangga kedua dan ketiga, hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan selepas masing-masing mencatat tiga kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.
Pertemuan kedua-dua pasukan esok bakal menjadi penentu pasukan mana yang akan mengiringi Iran untuk ke pentas final dengan Indonesia turut memiliki peluang untuk berbuat demikian.
“Secara keseluruhan, kita beraksi sedikit rendah dari kemampuan sebenar tetapi kesungguhan masih tinggi, kegagalan menyudahkan pukulan sudut penalti dan memberi peluang kepada lawan antara penyumbang keputusan hari ini.
“Untuk perlawanan esok menentang Khazakstan, kita perlu lebih fokus sebab meraka berpengalaman di pentas Piala Dunia dan mengamalkn corak permainan agresif, mereka juga ada pakar pukulan sudut penalti yang baik, jafi kita kena lebih kemas dalam bertahan dan tidak memberi peluang mudah untuk lawan”, ujar Muhammad Amin Rahim, jurulatih kebangsaan.
Pada perlawanan berdepan Indonesia, pihak lawan membuka jaringan menerusi sentuhan Muhammad Alfiana pada minit ke 10.
Namun kembali diikat Muhammad Firdaus Omar dua minit berselang sebelum giliran Malaysia pula mendahului 2-1 hasil jaringan Muhammad Ashran Hamsani.
Minit ke 24, Indonesia berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Prima Santoso dengan keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Perlawanan terakhir kumpulan esok, Malaysia akan turun dengan misi mesti menang ke atas Kazakhstan bagi memastikan tiket ke perlawanan akhir menjadi milik skuad negara.