KUALA LUMPUR: Masih terdapat satu lagi pentas terakhir untuk atlet karate negara mempamerkan aksi terbaik mereka sekiranya mahu berada dalam kontinjen negara ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September depan.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya sudah melihat ‘mutu’ atlet di Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini yang juga menjadi pentas pemilihan ke Hangzhou namun platform terakhir sebelum keputusan muktamad dibuat adalah di Kejohanan Asia di Melaka pada Julai depan.
“Pencapaian di Sukan SEA adalah terbaik,”
“Kita mencapai sasaran tiga emas dan kita dapat bonus satu emas, dua perak dan lima gangsa. Ini adalah satu pemilihan untuk ke Sukan Asia dan peluang kita di Sukan Asia untuk mendapatkan satu emas itu, saya lihat berada dalam struktur yang kita ada ini.
“Nampaknya ada kelebihan untuk pasukan karate negara (meraih emas di Sukan Asia). Selepas ini, mereka akan ke Mesir, Maghribi dan Tunisia untuk ‘sparring’ dan selepas itu kita ada Kejohanan Asia di Melaka dan itu addalah platform pemilihan terakhir untuk ke Sukan Asia.
“Untuk Sukan Asia, (seramai) 13 atlet dan kita fokus pada atlet kumite lelaki dan wanita.” kata Nur Azmi.
Di Phnom Penh, skuad karate negara yang menerima sentuhan jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy membawa pulang empat emas, dua perak dan empat gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang Vietnam yang meraih enam emas, satu perak dan enam gangsa.
Di Vietnam, Malaysia membawa pulang empat perak dan enam gangsa untuk berada di tangga ketiga keseluruhan di belakang Indonesia dan Vietnam.
“Alhamdulillah dia memberikan komitmen, cuma sedikit insiden berlaku dalam acara berpasukan. Namun saya nak atlet dan jurulatih fokus kepada atlet bukan kepada pengadil yang membuat keputusan. Saya percaya ia membawa sesuatu yang positif (untuk dipelajari),” jelas Nur Azmi.
Dalam pada itu, Nur Azmi memberitahu, pemenang emas dalam acara bawah 75 kilogram (kg), R Sharmendran yang mempertahankan emas untuk kali keempat sejak edisi Kuala Lumpur 2017 bakal beralih ke dunia kejurulatihan selepas ini.
“Ini kejohanan (Sukan SEA) terakhir buat Sharmendran dan selepas ini saya akan pindahkan kepada (bahagian) jurulatih negara. Saya suka bekas atlet yang mempunyai disiplin tinggi memegang sukan karate,” ujar Nur Azmi lagi.