comscore
Tumpuan :
Sukan

Kejayaan di Piala Dunia, skuad hoki 5s bakal terima dana KBS

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan sokongan dengan menyalurkan peruntukan dana kepada program pembangunan skuad hoki 5 sebelah (5s) negara lelaki dan wanita.

Kementerian menerusi menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa, skuad hoki 5s lelaki dan wanita negara sebelum ini tidak mendapatkan sebarang peruntukan berikutan Piala Dunia Hoki 5s yang disertai di Muscat, Oman adalah kejohanan baharu.

Namun pencapaian pasukan lelaki negara yang muncul sebagai naib juara sesuatu yang membanggakan dengan KBS bersedia menyalurkan bantuan daripada segi peruntukan kewangan.

Hannah berkata, kerajaan sebelum ini sudahpun menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.63 juta bagi kegunaan lima pasukan hoki negara bagi tahun 2023 mengikut pecahan masing-masing.

Sebanyak RM2,084,618 disalurkan kepada skuad senior lelaki kebangsaan yang terdiri daripada 20 pemain manakala skuad wanita yang juga dibarisi 20 pemain menerima RM1,129,990.

Tambahnya, 20 pemain pelapis kebangsaan menerima RM1,315,783 manakala 36 pemain yang beraksi bagi pasukan hoki dewan pula diberi peruntukan sebanyak RM1,105,749.
“Bagi tahun 2023, lima pasukan menerima jumlah besar RM5.63 juta.

“Piala Dunia Hoki 5s ini acara baharu, kali pertama 2024 untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami sedang usahakan bantuan.

“Jumlah besar tujuh pasukan sekarang yang akan dibantu oleh KBS Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Hannah menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam tadi.

Terdahulu Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan pasukan 5s tidak mempunyai dana yang mencukupi ketika mereka membuat persediaan ke Oman.

Malah jurulatih negara Wallance tidak menerima sebarang gaji dan hanya mendapat elaun makan manakala bantuan lain kepada pemain juga tidak dapat disalurkan kerana kekangan kewangan.

Kekangan kewangan juga menyebabkan MHC terpaksa memberi elaun latihan yang terhad sehingga tidak mampu memenuhi permintaan mereka yang mahukan kasut baharu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini