KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai meraih kegembiraan berganda apabila meraih gelaran kejohanan Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena di Bukit Jalil di sini, hari ini.
Pasangan suami isteri di kedudukan ranking ke-18 dunia itu, meraih hadiah perkahwinan seperti diidamkan mereka apabila muncul juara dengan menewaskan pilihan ketiga dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19, dalam masa 48 minit.
Kejayaan itu turut menyaksikan Soon Huat-Shevon yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 4 Mei, menamatkan kemarau tujuh Masters Malaysia untuk wakil negara meraih gelaran di kejohanan Super 500 itu.
Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Master Malaysia ialah menerusi gandingan Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing pada edisi 2017.
Kejohanan itu tidak diadakan pada 2021 kerana pandemik COVID-19.
Selaku juara, Soon Huat dan Shevon layak berkongsi hadiah wang tunai USD33,180 atau lebih RM156,000. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.