![](https://media.buletintv3.my/2023/12/2o5Mplc8-BTV3-WORK-9.jpg)
KUALA LUMPUR: Pemain beregu kebangsaan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi bangga dengan bekas pasangannya Muhammad Haikal Nazri yang berjaya mencipta nama bersama gandingan barunya Choong Hon Jian.
Penampilan Haikal dan Hon Jian mencuri tumpuan apabila menjuarai dua kejohanan secara berturut-turut di India baru-baru ini.
Wan Muhammad Arif berharap pencapaian rakannya itu memberi inspirasi kepadanya mengharumkan nama negara bersama Yap Roy King yang bergandingan bersama sejak Mac 2023.
Haikal dan Hon Jian, ranking ke-52 dunia, merangkul kejuaraan sulung mengejutkan pasangan ke-14 dunia, Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun, 18-21, 21-18, 21-16 dalam Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India 2023 diikuti kejayaan menjuarai Masters Guwahati 2023. menundukkan beregu Taiwan Lin Bing Wei-Su Ching Heng, 21-17, 23-21.
“Mungkin tercabar sedikit kerana ranking beliau juga sudah naik namun saya anggap pencapaian mereka satu saingan sihat kepada kami semua,” kata Wan Muhammad Arif selepas sesi latihan.
Dalam pada itu, Wan Muhammad Arif menjangkakan dapat kembali beraksi di gelanggang seawal Februari atau Mac depan susulan kecederaan lutut dialami Roy King ketika ini.
Pemain berusia 21 tahun itu pada masa sama berharap mereka dapat menembusi ranking ke-30 dunia selain merangkul sekurang-kurangnya satu gelaran pada tahun depan.
Wan Muhammad Arif-Roy King telah beraksi sebanyak 12 kali di pentas antarabangsa, muncul juara Cabaran Antarabangsa Nantes 2023 di Reze, Perancis, mengalahkan wakil Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Patra Harapan Rindorindo, 21-16, 14-21, 21-12.
Mereka yang kini mendudukki ranking ke-60 dunia, juga berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 pada Julai lepas, menewaskan gadingan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 21-17, 21-12.