KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan ‘adik’, skuad bawah 22 (B-22) tahun negara menewaskan B-22 Hong Kong 2-1 pada aksi final Piala Merlion 2023 di Singapura, kelmarin seharusnya menjadi pembakar semangat buat pasukan senior kebangsaan.
Ia kerana secara kebetulan, skuad ‘abang’ iaitu Harimau Malaya juga akan turun menentang pasukan Hong Kong, namun di pentas aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Justeru, skuad senior negara berpeluang melanjutkan pesta Harimau Malaya yang diraikan skuad B-22 di Stadium Jalan Besar ke Stadium Sultan Ibrahim pula dengan menewaskan skuad kendalian, Jorn Andersen.
Paling menarik, ia bakal menjadi pertembungan kedua Andersen sebagai pengendali Hong Kong dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon selepas aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jun tahun lalu.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim juga mungkin mahu dijadikan medan membalas dendam Andersen terhadap Pan Gon selepas anak buahnya tunduk 0-2 kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan sebelum ini.
Malah, dia juga dilaporkan membawa skuad berbeza dan lebih baik dalam misi menebus kekecewaan yang dihadapi mereka ketika aksi persahabatan berdepan skuad Harimau Malaya kira-kira 10 bulan lalu itu.
Bagaimanapun, dia tampak tidak akan berdepan tugas mudah kerana anak buah Pan Gon juga berada pada landasan terbaik ketika ini dengan turut dibarisi beberapa muka baharu.
Malah, barisan pemain skuad Harimau Malaya boleh dikatakan akan hadir dengan motivasi tinggi susulan kejayaan menundukkan Turkmenistan 1-0 dalam aksi persahabatan yang turut berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lalu.
Kehadiran beberapa muka baharu termasuk pemain naturalisasi, Paulo Josue selain Nooa Laine, Fayadh Zulkifli dan Feroz Baharudin yang membuat penampilan sulung ketika berdepan Turkmenistan juga boleh dijadikan senjata rahsia untuk menjinakkan Hong Kong.
Bukan itu sahaja, pemain baharu yang dipanggil Pan Gon juga pasti akan bekerja keras untuk menampilkan persembahan terbaik bagi memikat hati Pan Gon dan berpeluang berada dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 tahun depan.
Namun, apa yang mengecewakan peminat pasukan kebangsaan apabila Pan Gon tidak boleh menggunakan khidmat dua pemain – Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos untuk berdepan Hong Kong susulan masalah kecederaan.
Ketika aksi berdepan Turkmenistan, Arif Aiman tidak diturunkan manakala Endrick pula beraksi pada babak pertama dan ketiadaan mereka mungkin tidak banyak mengubah perancangan Pan Gon untuk berdepan Hong Kong malam ini.