Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Persiapan Sabah FC terjejas selepas tiga pemain utama tidak dapat beraksi menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.
Ketua Jurulatihnya, Martin Stano berkata, mereka termasuklah Gabriel Peres, Telmo Castanheira serta Daniel Ting kerana memiliki kad merah dalam beberapa siri perlawanan lalu.
Bagaimanapun Sabah tetap mempunyai “game plan” yang cukup teliti dengan harapan dapat memastikan kesebelasan utama yang diturunkan nanti mampu memberikan saingan sengit kepada JDT.
“Kita meletakkan sasaran tinggi bertemu JDT Sabtu ini berikutan Sabah bertemu dengan pasukan terbaik dalam Liga Super. Saya tidak percaya bahawa keputusan seri atau kemenangan sudah cukup sebagai ukuran menentang JDT nanti.
“Perkara paling penting bagi saya adalah Sabah dapat mengekalkan prestasi semasanya dan terus kekal berada pada tahap maksimum. Apa yang penting pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta menyumbang mata penting nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ketika ini Sabah giat menjalani latihan bagi memperkemas strategi terbaik berdepan JDT.
“Kami masih mempunyai tempoh beberapa hari serta akan menjalani sesi latihan sebelum perlawanan sebenar pada Sabtu ini.
“Jadi mungkin kami akan melakukan beberapa pelarasan posisi untuk mencorak strategi serta bersedia untuk dapat mengejutkan pasukan lawan nanti,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kedua-dua perlawanan antara Piala Malaysia dan Liga Super Stano berkata, Sabah menganggap kedua-dua perlawanan ini sangat penting meskipun tempoh perlawanannya singkat.
“Kita akan memberi tumpuan serta fokus kepada setiap perlawanan satu demi satu. Sekarang, fokus adalah sepenuhnya kepada perlawanan menentang JDT dalam Liga Super.
“Menjelang perlawanan separuh akhir Piala Malaysia akan datang nanti, kita juga akan memberi tumpuan sepenuhnya sekali gus berusaha untuk memperoleh keputusan baik dalam kedua-dua perlawanan ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.