Tumpuan :
Sukan

Kedah kekalkan momentum kemenangan di laman sendiri

Aksi pemain KDA FC ketika menentang Penang FC di Stadium Darul Aman. – FOTO: Kedah Darul Aman FC/ Facebook

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangannya di laman sendiri apabila menewaskan Penang FC 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Pada aksi ini jiran tetangga ini, Penang FC terlebih dahulu mengancam kubu Kedah dengan percubaan seawal minit pertama menerusi Wenzel Halls namun sedikit tersasar melepasi sasaran.

Tuan rumah cuba memburu gol melalui gerakan pantas yang dimulakan pemain sayap Sukhrob Nurulloev selang tiga minit kemudian namun hantarannya ke kawasan kubu Penang FC gagal disempurnakan penyerang Kedah, Milos Gordic.

Kedah terus menggandakan usaha serangan ke kubu Penang FC melalui percubaan Fayadh Zulkifli pada minit kelima namun berjaya diselamatkan Sikh Izhan.

Nurullaev pada akhirnya berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-10 dengan rembatan yang menewaskan penjaga gol Sikh selepas menerima hantaran hasil bola tandukan Milos Gordic.

Penang FC kemudian cuba bangkit melalui pemain tengahnya Syamer Kutty pada minit ke-32 untuk memburu gol penyamaan, namun percubannya melepasi palang gol dan kedudukan itu 1-0 kekal hingga hujung babak pertama.

Bermula babak kedua skuad Penang FC dibawah bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail menggandakan serangan dan memperoleh peluang menerusi Halls pada minit ke-52 tetapi percubaannya tersasar.

Kelebihan 1-0 Kedah itu kekal sehingga hujung babak perlawanan sekali gus menyaksikan skuad kendalian Victor Andrag naik dua anak tangga di kedudukan kesembilan dengan 17 mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini