Tumpuan :
Sukan

Kedah henti rundingan dengan MMC

Surat kepada pihak Mahsuri Medical Centre hari ini bagi memaklumkan bahawa pihak KDA FC telah memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100% saham KDA FC. IHSAN FB KEDAH DARUL AMAN FC

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan mengenai penjualan 100 peratus sahamnya kepada anak syarikat DSAT Group, Mahsuri Medical Centre (MMC).

Menerusi kenyataan media hari ini, pihak pengurusan KDA FC yang masih mengenal pasti pemilik baharu bagi menyelesaikan kemelut kewangan dihadapi mereka, tiba-tiba menutup pintu rundingan dengan DSAT Group Sdn Bhd yang dimiliki Datuk Seri Azizul Tandek.

“Pihak KDA FC telah menghantar surat kepada pihak MMC pada hari ini 11 November 2024 untuk memaklumkan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.

“Pihak KDA FC mendoakan yang terbaik kepada MMC dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Dr Zaki Zamani Abd Rashid mengemukakan surat tawaran kepada KDA FC pada 3 November lalu untuk memiliki kepentingan yang ditanggung kelab berkenaan.

Empat hari kemudian pihak KDA FC memberi maklum balas untuk merujuk tawaran itu dengan pihak peguam kelab bagi membincangkan asas serta terma tawaran dengan lebih lanjut dan terperinci.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini