Tumpuan :
Sukan

Kecemerlangan atlet IPT bantu kontinjen negara lepasi sasaran Sukan Asia Hangzhou


PUTRAJAYA: Atlet institusi pengajian tinggi (IPT) membuktikan penampilan mereka pada Sukan Asia Hangzhou bukan sekadar pelengkap penyertaan, hakikatnya kehadiran mereka berjaya memperkasakan perjuangan kontinjen negara.

Mereka berjaya menyumbang 17 pingat atau lebih tepat separuh daripada 32 pingat yang diraih kontinjen negara termasuk tiga pingat emas juga separuh daripada enam pingat emas yang dibawa pulang.

Skuad skuasy yang ditunjangi atlet IPT cemerlang sumbang tiga pingat emas – Foto: MSN/Facebook

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan seramai 93 atlet IPT menyertai kontinjen negara pada temasya berkenaan termasuk dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia serta beberapa penuntut di luar negara.

Selain 3 pingat emas yang dirangkul atlet skuasy masing-masing menerusi perseorangan lelaki dan wanita serta berpasukan wanita, atlet IPT turut menyumbang lima pingat perak dan sembilan gangsa.

Pingat perak menerusi acara akuatik, karate kata berpasukan dan perseorangan, skuasy beregu campuran serta wushu

Manakala pingat gangsa pula dikutip menerusi acara akuatik terjun merangkumi 3 meter (m) papan anjal dan 10m platform seirama, basikal pecut berpasukan wanita, gimnastik artistik, memanah compound berpasukan lelaki, olahraga 100 m dan 400 m, skuasy berpasukan lelaki dan olahraga 4x100m wanita.

Pada temasya sukan itu, Malaysia diwakili 288 atlet yang beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan dipertandingkan serta merangkul 32 pingat merangkumi enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa, sekali gus mengatasi sasaran pungutan 27 pingat.

KPT memaklumkan kejayaan yang diraih itu adalah hasil galakan dan usaha berterusan daripada KPT bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta pusat-pusat sukan IPT selain kerjasama erat bersama persatuan sukan kebangsaan.

“KPT akan terus komited untuk membangunkan bakat pelajar dan menjadi pemangkin pencapaian cemerlang atlet negara ke peringkat tertinggi,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini