DOHA: Kejayaan skuad bawah 23 (B-23) Indonesia mara ke suku akhir Piala Asia B-23 selaku naib juara Kumpulan A di belakang tuan rumah Qatar nyata mencuri tumpuan.
Pada aksi terakhir kumpulan semalam, Indonesia menampilkan kelas tersendiri menundukkan skuad B-23 Jordan 4-1.
Selepas mengharungi tiga perlawanan kumpulan, Indonesia meraih enam mata menerusi dua kemenangan dan tewas sekali.
Meskipun tumpas kepada Qatar 0-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D pada 15 April, ramai yang merumuskan kekalahan itu susulan dua kad merah yang dilayangkan kepada Ivan Jenner dan Ramadhan Sananta.
Begitupun Indonesia yang dibimbing jurulatih kelahiran Korea Selatan Shin Tae-yong, pantas melupakan kekalahan itu dengan mengejutkan Australia 1-0 pada aksi kedua tiga hari beselang.
Pada aksi di Stadium Abdullah Bin Khalifa menentang Jordan semalam, Indonesia membuka jaringan menerusi sepakan penalti Marselino Ferdinan pada minit ke-23.
Witan Sulaeman mengukuhkan kedudukan Indonesia apabila menyumbat gol kedua lima minit sebelum rehat.
Indonesia meneruskan penguasaan pada babak kedua menyaksikan Marselino sekali lagi membolosi gawang lawan untuk kedudukan 3-0 pada minit ke-70.
Jaringan sendiri Justin Hubner sembilan minit kemudian tidak menjejaskan tumpuan Indonesia, malah skuad Garuda Muda itu melengkapkan kemenangan 4-1 hasil jaringan minit ke-86 Komang Teguh.
Kejayaan Skuad B-23 Indonesia ke suku akhir mengulangi kecemerlangan pasukan senior yang turut menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada Piala Asia 2023 di Doha.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.