KUALA LUMPUR: Kelantan Darul Naim (KDN) FC bakal diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran isu membabitkan visa dan tunggakan gaji pemain import dari Korea Selatan.
Perkembangan itu disahkan ejen dari republik itu, Myeongho Jeong yang memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan aduan secara rasmi kepada badan induk bola sepak antarabangsa itu selepas KDN FC tidak menyelesaikan masalah berkenaan seperti dijanjikan dalam masa terdekat.
Jelasnya, pihaknya sudah terbuka untuk mendapatkan jalan penyelesaian membabitkan kemelut terbabit namun KDN FC tampak tidak serius untuk menyelesaikannya sekali gus memaksa perkara itu dipanjangkan kepada FIFA.
“Saya sudah membuat aduan secara rasmi kepada FIFA pada hari ini (semalam). Anda sentiasa berbohong dan saya tidak lagi boleh menunggunya.
“Saya memulakan tindakan undang-udang ke FIFA dan pasukan ini akan hilang nanti,” kata Jeong menerusi kemaskini di laman Instagramnya.
Terdahulu, Jeong mendakwa jurulatih dan pemainnya terpaksa tinggal secara haram di negara ini selepas tidak mendapat visa daripada KDN FC.
Menerusi kemaskini di media sosialnya, Jeong menyatakan jurulatih dan pemain itu tidak boleh pergi ke mana-mana dan tidak boleh menaiki pesawat untuk menyertai perlawanan di tempat lawan dan lebih malang, pemain dari Myanmar turut terpalit masalah sama.
Malah, lebih memburukkan keadaan adalah pasukan terbabit tidak membayar gaji selama tiga bulan termasuklah sewa rumah dan juga bayaran kereta yang tidak dilunaskan.
Namun isu terbabit tampaknya bakal terlerai dengan nada positif selepas pasukan itu menunjukkan usaha untuk menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu.
“Pasukan menghubungi saya hari ini (semalam) dan mengadakan rundingan dengan berjanji untuk menyelesaikan semua isu ini dalam tempoh dua minggu.
“Saya tidak akan mengeluarkan sebarang komen negatif mengenai pasukan itu buat seketika.
“Jadi saya dan pemain akan menunggu (semua perkara itu diselesaikan),” kata Jeong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.