Oleh: Fariz Zolkarnain
ANTALYA: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan meneruskan jelajah Pra Musim 2023 di Turkiye menentang kelab Kazakhstan, FC Maktaaral di Limak Arcadia Sports Center, Antalya jam 10.00 malam ini waktu Malaysia.
Selepas tewas dalam dua aksi persahabatan sebelum ini menentang Nasaf FC, 1-2 dan Shakter Karagandy FC 0-2, pengendali baharu KDA FC, Nafuzi Zain tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya setakat ini.
“Bagi saya dua perlawanan sebelum ini kita menentang pasukan yang hebat dan lawan memiliki tahap permainan yang lebih baik.
“Saya berpuas hati dengan komitmen pemain dari segi keberanian mereka bermain melawan pasukan yang mempunyai kekuatan fizikal.
“Persefahaman dikalangan pemain juga semakin meningkat apabila masing-masing lebih memahami di antara satu sama lain,” jelas Nafuzi.
Menjelang aksi menentang FC Maktaaral malam ini, Nafuzi yang dinobat selaku Jurulatih Terbaik 2022 berharap pasukannya dapat memperkemaskan beberapa lagi aspek permainan.
Bukan keputusan yang menjadi sasaran KDA FC pada Jelajah Pra Musim 2023 di Turkiye, sebaliknya KDA FC mahu mendapatkan seberapa banyak pengalaman sebelum pulang ke tanah air.
KDA FC akan menutup aksi persahabatan menentang kelab Ukraine, Metalist Kharkiv, Selasa ini.
Pasukan Sang Kenari dijadual memulakan aksi pertama Liga Super 2023 melawan Perak FC di Ipoh, 25 Februari nanti.