PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima lebih 125 permohonan dana Geran Padanan Sukan (GPS) daripada pelbagai pihak yang mahu menganjurkan program dan aktiviti sukan di dalam negara selepas ia dilancar secara rasmi pada 1 Jun lepas.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun berkata, kementerian akan meneliti terlebih dahulu kesemua permohonan yang dibuat termasuk oleh syarikat, persatuan sukan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi berdaftar sebelum tarikh tutup permohonan pada 31 Julai ini.
“Banyak permohonan (GPS) diterima namun saya akan umumkan data tepat nanti. Fasa pertama telah diluluskan dan kita akan umumkan status GPS tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Skate Malaysia di Sunway Pyramid semalam.
Pada Belanjawan 2023 lalu, kerajaan memperuntukkan RM40 juta ringgit kepada kementerian di bawah inisiatif GPS.
Syarat ketat peruntukan RM40 juta geran itu menyaksikan pemohon perlu telus dan penganjuran sukan berkenaan dapat memanfaatkan atlet negara dalam usaha membaiki prestasi atau ranking mereka.
Terdahulu, Kejohanan Skate Malaysia yang berlangsung selama empat hari, menyaksikan lebih 400 peserta daripada tujuh negara termasuk Malaysia, bakal membuat penampilan pada penganjuran edisi ke-14 itu.