![](https://media.buletintv3.my/2023/01/pp-cms-L-42.jpg)
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menepis kritikan pelbagai pihak bahawa keputusan meletakkan sasaran tanpa warna pingat bukan dilakukan secara bersendirian tetapi ia hadir daripada pakar.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kaedah yang digunakan sebelum ini yang sering meletakkan sasaran pingat emas sehingga ia boleh mendatangkan tekanan kepada atlet yang bertanding.
Disebabkan itu, KBS ingin melakukan pembaharuan ditambah pula saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU) menyebabkan pihaknya bersetuju untuk menggunakan cara itu di temasya dwitahunan itu mengikut jumlah pingat keseluruhan.
“Saya ingin mengatakan saranan itu untuk mengumumkan sasaran berdasarkan jumlah pingat dan bukan warnanya (emas), ia bukan saranan Hannah Yeoh.
“Ia datang dari NSSU dan ketika kita berbincang, mereka berkata mengapa Malaysia masih menggunakan laluan ini sedangkan negara lain sudah tidak menggunakannya lagi.
“Ini (saranan) datang daripada pakar NSSU dan mengapa kita mendengar daripada mereka? Kerana universiti itu sendiri, mereka mencapai lebih daripada 40 pingat emas di Sukan Olimpik,”katanya selepas majlis perasmian cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini, hari ini.
Selain itu, Hannah menafikan mereka tidak mengambil kira pandangan pakar pelbagai pihak dari Malaysia.
“Bukanlah kami tidak mendengar. Kami mendengar, tetapi di sini tiada gunanya kami menandatangani MoU (memorandum perjanjian), kami menjemput pakar yang datang dan pada akhirnya beritahu mereka maaflah saya tidak ingin mendengar kata-kata anda kerana saya fikir Malaysia lebih tahu.
“Jika ia memberi kesan baik buat Jepun, Australia serta pakar negara lain saya ingin memberikannya peluang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan keputusan tidak meletakkan sasaran pingat kepada atlet negara pada Sukan Sea Thailand 2025 dilihat kurang praktikal untuk dilakukan pada kejohanan dwitahunan itu.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau melihat Sukan Sea adalah pentas terbaik buat atlet negara beraksi kerana memburu pingat nampak lebih mudah selepas mengambil kira faktor penyertaan daripada setiap negara Asean.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.