
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menilai semula kursus dan latihan kemahiran agar lebih selaras dengan keperluan industri.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan yang cekap tanpa pembaziran serta membentuk budaya kerja yang lebih dinamik dan inklusif bagi golongan belia.
“Semasa Mesyuarat Bersama Pimpinan Pengurusan KBS, pelbagai isu utama dibincangkan untuk memastikan penambahbaikan kebijakan serta mekanisme yang relevan dengan arus pendigitalan, teknologi, dan perubahan ekonomi global,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Perdana Menteri menyampaikan pandangan itu ketika menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran KBS dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Menara KBS, Putrajaya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; timbalannya, Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta hampir 400 warga KBS.
Untuk rekod, Anwar pernah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.
“Masih segar di ingatan betapa pegawai-pegawai belia di daerah-daerah tetap bekerja dengan semangat juang yang tinggi meski berdepan tantangan dan kekangan yang ada,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.