KUALA LUMPUR: Untuk memperkasakan perkembangan e-sukan kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) memperkenalkan peruntukan khas ’Dana Esukan KBS’ berjumlah RM250,000.
Menerusi satu kenyataan, ESI memaklumkan, dana berkenaan bertujuan memberi galakan kepada penggiat industri e-sukan tempatan menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan acara serta merancakkan ekosistem e-sukan negara.
ESI ialah inisiatif menerusi KBS bertujuan memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, inklusif dan mampan di Malaysia.
“Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara e-sukan dipelawa untuk memohon dana ini,” menurut kenyataan itu.
Syarat ditetapkan termasuk syarikat atau organisasi mesti berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) manakala jumlah peruntukan maksimum dipertimbangkan setiap permohonan adalah hingga RM25,000.
“Semua program yang dipohon berdasarkan skop permohonan perlulah dianjurkan sebelum 31 Jan 2024,” menurut kenyataan itu.
Mana-mana pihak yang berminat memohon dana boleh mengisi borang menerusi www.esportsintegrated.com/dana-esukan-kbs sebelum 30 Nov ini.