comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS mudahkan penganjuran pertandingan sukan, elak masalah birokrasi

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Ketua Setiausaha kementerian, Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu (kiri) dan Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof pada sidang media berkaitan permohonan kelulusan penganjuran acara sukan dipercepatkan bagi merancakkan aktiviti sukan negara di Menara KBS. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif bagi merancakkan penganjuran sukan serta melahirkan masyarakat bersukan dengan memudahkan permohonan dan mengurangkan masalah birokrasi yang sering membelenggu penganjur selama ini.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata semua pertandingan acara sukan tempatan yang dianjurkan oleh badan sukan, sama ada di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta kelab berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) tidak perlu mendapatkan kelulusan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Bagaimanapun, badan sukan hendaklah memastikan bahawa semua pertandingan dan acara sukan yang dibenarkan, dijalankan atau disertai adalah mengikut kaedah dan garis panduan diiktiraf. Ia termasuk langkah kesihatan dan keselamatan bagi peserta, pegawai dan penonton pertandingan termasuklah dengan mendapatkan perlindungan insuran,” katanya dalam sidang media di Menara KBS di sini, hari ini.

Beliau, berkata pertandingan sukan tempatan yang dianjurkan pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk agensi kerajaan juga tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada PJS.

Bagaimanapun, pihak industri sukan, syarikat atau pengurus acara perlu mendapat permohonan daripada PJS namun ia lebih mudah berbanding sebelum ini.

“Mereka hanya perlu menyediakan tiga dokumen berbanding sembilan sebelum ini. Tiga dokumen berkenaan ialah sijil pendaftaran, perlindungan insuran dan sanksi/kebenaran badan sukan. Bayaran lesen dikecualikan sehingga 31 Disember 2025 dan tempoh permohonan lesen juga dipendekkan seperti contoh acara sukan tempatan daripada 30 kepada 14 hari bekerja, manakala acara antarabangsa daripada 90 kepada 30 hari bekerja.

“Semua pembaharuan ini adalah untuk membangunkan ekosistem sukan dalam negara, memang kita ada Road To Gold (RTG) yang dibuat untuk memenangi pingat Olimpik tapi KBS juga perlu jaga ekosistem. Membudayakan sukan di semua peringkat bukan di Putrajaya sahaja, semua daerah kecil kita mahu permudahkan penganjuran sukan.

“Bila ada townhall sebelum ini penganjur acara sukan datang menangis kepada saya bahawa mereka sukar melaksanakan aktiviti sukan kerana kos tinggi. Mereka hendak membuat larian tapi tidak mampu bayar (sanksi). Jadi saya minta persatuan sukan ambil semangat sama kurangkan kos penganjur, bukannya mengenakan sanksi sehingga RM10,000,” katanya.

Perubahan berkenaan dijangka berkuat kuasa bermula pada 10 April depan selepas PJS membuat pengubahsuaian sistem bayaran.

Loading...
Terkini