KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula sekiranya terdapat keperluan merombak peruntukan geran kepada program pembangunan sukan terutamanya apabila mereka dilihat tidak mencapai prestasi memuaskan.
Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata empat program tersebut ialah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Program Pembangunan Bola Jaring Negara (NNDP), Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).
“Di peringkat MSN kita ada NFDP, NNDP, NRDP dan NHDP dan setiap tahun, empat jenis sukan ini telah menerima geran daripada MSN untuk pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
“Tetapi ada banyak sukan lain telah meminta dan zaman sudah berubah, sekarang kita ada jawatankuasa di MSN untuk mengkaji bajet sama ada memadai atau tidak, keperluan rombak semula, atau ditambah lagi sedang dikaji,” katanya.
Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan temasya Sukan Sikh dan Piala Gurdwara ke-72 yang bermula hari ini hingga Sabtu.
Terdahulu, beliau mengumumkan pemberian sebanyak RM50,000 di bawah peruntukan Menteri untuk Kelab Sukan & Rekreasi Sikh Kuala Lumpur, selain pemberian Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM38,000 bagi penganjuran temasya sukan edisi ke-72 itu.
Malah Hannah sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan untuk memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang yang dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat kepada negara ketika menyertai kejohanan di dalam atau luar negara.
Pada 30 Mei tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) diwujudkan dengan melibatkan kerjasama KBS, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberi tumpuan kepada tiga sukan berkenaan.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyokong keputusan KBS untuk berbuat demikian dengan memastikan peruntukan diberikan berlandaskan petunjuk prestasi utama (KPI) terutamanya apabila Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
“Dari segi peruntukan, tentu saja ia merupakan hak KBS ataupun MSN dan tentu saja MSN yang menggunakan duit kerajaan, memikirkan tentang pulangan dari sukan yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan & Rekreasi Sikh Kuala Lumpur Datuk Baldev Singh Kailay menzahirkan penghargaan kepada KBS serta berharap lebih ramai atlet muda dapat dilahirkan daripada temasya berkenaan.
Temasya terbesar sejak kali pertama diadakan pada tahun 1952 itu akan disertai 1,000 peserta bagi tujuh acara dipertandingkan iaitu hoki, bola sepak, badminton, bola jaring, golf, dart dan snuker.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.