comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS, ISN sedia hulur bantuan rawatan Qi Xuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan bantuan kepada pemain beregu wanita profesional negara, Ng Qi Xuan yang mengalami kecederaan ketika menyertai kejohanan badminton Malaysia Super 100, Sabtu lepas.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, bantuan berkenaan diberikan melalui Institut Sukan Negara (ISN) berdasarkan keperluan atlet tersebut.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli dijangka bertemu dengan ibu bapa Qi Xuan hari ini, bagi membincangkan lebih lanjut proses rawatan yang diperlukan.

“Saya meminta ISN untuk berhubung dengan keluarga Qi Xuan dan menawarkan perkhidmatan yang kita ada untuk membantu dia.

“Pemilihan mendapatkan pembedahan dan rawatan itu adalah hak keluarga. Ahmad Faedzal akan berjumpa dengan ibu bapanya untuk berbincang proses seterusnya,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Program ISNEXT 2024 di ISN di sini hari ini.

Hannah berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menawarkan bantuan proses pemulihan selepas pembedahan kepada atlet berusia 24 tahun itu.

Qi Xuan mengalami empat kecederaan serius iaitu anterior cruciate ligament (ACL), posterior cruciate ligament (PCL), medial collateral ligament (MCL) dan lateral collateral ligament (LCL) serta sedikit keretakan tulang selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).

Semalam dia turut memohon bantuan orang ramai kerana pembedahan menelan kos sekitar RM25,000 sehingga RM30,000 namun syarikat insuransnya tidak melindungi kecederaan seperti itu.

Qi Xuan dilaporkan mengalami kecederaan lutut ketika cuba melakukan pukulan smash menyebabkan beliau dan pasangannya Yap Rui Chen terpaksa menarik diri ketika mereka hanya satu mata untuk meriah kemenangan.

Qi Xuan-Rui Chen mendahului Teoh Mei Xing-Go Pei Kee 22-20, 20-18 pada aksi separuh akhir. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini