Tumpuan :
Sukan

KBS: 60 wakil KPM dan KPT tandatangani perakuan sokongan Kod Sukan Selamat

PUTRAJAYA: Kesedaran kepentingan Kod Sukan Selamat di perluas ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

60 entiti terdiri daripada pentadbir dan penggiat sukan di bawah KPM dan KPT menandatangani perakuan itu sebagai lambang komitmen dalam pelaksanaannya sekaligus mewujudkan persekitaran sukan yang selamat bagi seluruh komuniti sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyaksikan upacara simbolik itu jelas berpuas hati dengan komitmen yang diusahakan.

“Yang paling penting adalah untuk kita pastikan atlet kita jurulatih sendiri pun kena rasa selamat bukan sahaja selalu kita anggap atlet sahaja jadi mangsa mungkin jurulatih juga kemungkinan jadi mangsa oleh sebab itu kita perlu adakan banyak lagi program kesedaran,” kata Hannah.

Hannah turut mencadangkan pihak KPM melantik pegawai khas untuk melancarkan lagi proses penerimaan aduan serta mengawal selia kod itu.

Program memberi keutamaan kepada enam aspek kesalahan dan gangguan iaitu seksual, salah laku mental & fizikal, buli, antun seksual termasuk kesalahan perundangan dalam masa sama menguatkuasakan kerahsiaan demi melindung identiti pengadu ketika siasatan.

Kepentingannya kepada pelajar sekolah dan mahasiswa universiti kerana kebanyakan atlet negara memulakan karier di peringkat tersebut.

Kementerian Pendidikan merancang melaksanakan sepenuhnya Kod Sukan Selamat bermula Julai ini.

“Advokasi dan kesedaran berkaitan dengan kod sukan selamat ini akan diperluaskan di semua sekolah kemudian proses pendaftaran akan dilaksanakan di semua jabatan pendidikan negeri dan juga memastikan bahawa kod sukan selamat ini benar-benar berada dalam ruang lingkup kpm dengan kerjasama  dan jugak sokongan daripada kbs untuk meneruskan ekosistem sukan selamat di malaysia.” jelas Fadhlina.

Loading...
Terkini