Tumpuan :
Sukan

Kami masih percaya PSM – FAM

Keadaan padang SNBJ yang rosak selepas berlangsungnya satu konsert artis antarabangsa baru-baru ini.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), masih percaya kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan terus memberi mandat kepada PSM memastikan Stadium Nasional Bukit Jalil sedia untuk digunakan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed enggan menekan butang panik sebaliknya percaya PSM sudah belajar daripada kesilapan bagi memastikan keadaan padang SNBJ bersedia sepenuhnya.

“Sudah tentu skuad kebangsaan ingin beraksi di depan penyokong di SNBJ yang masih menjadi stadium bertuah buat Harimau Malaya.

“Saya fikir perkara ini (padang rosak) tidak akan berulang sebab mereka mempunyai tempoh masa untuk memastikan padang itu dalam keadaan terbaik.

“Buat masa ini, kami kekal untuk menggunakan venue tersebut (untuk aksi kelayakan),” kata Firdaus.

Sebagai rekod, PSM teruk dikecam pada dua insiden memalukan sebelum ini apabila gagal memastikan padang berada pada tahap terbaik pada kejohanan Pestabola Merdeka, Oktober lepas dan final Piala Malaysia minggu lalu.

Bagaimanapun timbul juga kebimbangan dan bakal mencetuskan isu yang sama apabila penyanyi antarabangsa terkenal, Ed Sheeran akan mengadakan konsert di SNBJ pada 24 Februari depan.

Sementara itu, Harimau Malaya pula akan mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac nanti.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini