
ISKANDAR PUTERI: Pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies tidak menggangap pertembungan menentang kelab K1 Liga Korea, Pohang Steelers pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok sebagai misi balas dendam.
Davies berkata, walaupun JDT pernah tewas dua kali pada aksi ACL yang berpusat di Bangkok, Thailand pada 2021, skuad kendalian Hector Bidoglio kini dibarisi pemain lebih berkualiti dan berada dalam momentum terbaik pada saingan ACLE.
“Ini bukan perlawanan membalas dendam dan skuad kali ini berbeza dengan barisan pemain ketika 2021 dan Pohang Steelers juga dibarisi pemain berbeza dan semua itu sudah berlalu sebaliknya ia perlawanan amat dinantikan kerana kami mahukan kemenangan bukan mahu balas dendam.
“Ia perlawanan penting bagi kami kerana kami bercita-cita tinggi dalam saingan ACLE musim ini untuk mara lebih jauh dan sejak dua dan tiga tahun ini banyak perubahan dilakukan bagi menguatkan skuad JDT mengharungi saingan kelab elit Asia.
“Kami memiliki skuad terbaik pada musim ini dan penampilan kami berdepan kelab dari Korea Selatan bakal menyaksikan corak permainan berintensiti tinggi dalam usaha memburu tiga mata walaupun secara perkiraan keputusan seri sudah memadai untuk layak,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-ha meletakkan sasaran tinggi menjelang pertemuan, malam esok.
Tae-ha berkata, perlawanan itu penting buat pasukannya yang mahu meletakkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur dan menjaga reputasi kelab.
Katanya, fokus utama adalah menewaskan JDT walaupun rekod pertemuan pada 2021 menyaksikan mereka menang dua kali ke atas kelab dari Malaysia namun semua itu sudah menjadi sejarah.
Untuk rekod, Pohang Steelers menewaskan JDT 4-1 pada 28 Jun 2021 dan menang kali kedua 2-0 pada 1 Julai 2021.
“Walaupun kami tewas kepada Kawasaki Frontales 4-0 dalam saingan ACLE dan tumpas kepada Daejeon Hana 3-0 dalam saingan liga domestik, ia sedikit mengecewakan namun memberi pengajaran untuk kembali bangkit.
“Saya percaya kami akan beri persembahan terbaik malam esok, ini kerana barisan pemain tampak begitu semangat apabila melakukan persiapan yang rapi malah kami juga sudah ada pengganti yang akan beraksi di posisi Jonathan (Aspropotamitis) yang digantung akibat kad merah,” katanya.
Ditanya mengenai pemain JDT yang perlu diawasi dalam perlawanan itu nanti, Tae-ha mengakui kesebelasan utama lawan yang bakal diturunkan memiliki kualiti permainan yang tinggi dan gemar bermain secara pantas.
“Saya perlu awasi pemain bernombor 9 (Bergson da Silva) dan pemain bernombor 30 (Natxo Insa) yang menjadi figura dalam pasukan itu kerana kedua-dua pemain sentiasa beri impak dan menjadi pencetus kebangkitan JDT,” kata Tae-ha.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.