comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Kalau boleh mahu Alex Ferguson, Jurgen Klopp’ – Ahmad Samsuri

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa sidang media pada majlis Perasmian Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024- 2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini.-Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: “Kalau boleh kita mahu jurulatih sehebat Alex Ferguson atau Jurgen Klopp, tetapi tengok kemampuan dahulu.”

Itu reaksi secara berseloroh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya mengenai calon jurulatih asing menggantikan Tomislav Steinbruckner yang meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Terengganu FC.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri mendedahkan sudah ada calon pengendali baharu yang disenarai pendek bagi mengisi tugas di kerusi panas itu.

Jelasnya, Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC telah diberi kepercayaan untuk membuat tindakan susulan.

“TFC ada penolong-penolong jurulatih yang boleh menjalankan tugas sementara, dan kita akan uruskan pertukaran ini dengan cara yang terbaik.

“Senarai pendek (jurulatih baharu) itu sudah ada tetapi saya belum boleh mengulas lanjut, nanti kita akan uruskan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024- 2026 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini.

Terdahulu, TFC mengesahkan Steinbruckner melepaskan jawatannya bersama dua penolong jurulatih dengan tugas pengendali sementara kini digalas Badrul Afzan Razali sambil dibantu Hairuddin Omar.

Keputusan itu dibuat susulan kemerosotan prestasi skuad Penyu yang bergelut dengan prestasi dan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super serta ACC.

Sementara itu Ahmad Samsuri yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyeru penyokong setia TFC berdiri teguh di belakang pasukan untuk perlawanan mendatang.

“Semangat pemain ke-12 itu sangat diperlukan barisan kejurulatihan dan pemain untuk kembali bangkit dan meraih semula maruah yang tercalar bermula perlawanan bertemu PDRM, Jumaat ini.

“Dalam setiap perjalanan pasti ada cabaran, begitu juga usaha membina sebuah pasukan yang mantap. Apa yang penting semangat penyokong bersama pasukan untuk melalui tempoh sukar ini,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini