KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki Hong Kong, Ng Ka Long mengakui masih sukar untuk menerima keputusan jurulatihnya, Wong Tat Meng yang menerima tawaran untuk membimbing pemain nombor lapan dunia, Lee Zii Jia.
Katanya, tindakan itu meletakkan dia dan rakan sepasukan dalam situasi sukar ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou, September depan selain misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sekarang dia (Tat Meng) meninggalkan kami dengan situasi hanya tiga bulan sebelum Sukan Asia berlangsung dan setahun sebelum Sukan Olimpik Paris bagi menyertai salah satu pasukan seteru utama.
“Dia sekarang ini meletakkan kami dalam situasi janggal,” kata Ka Long yang juga pemain ranking ke-14 dunia menerusi hantaran di laman Instagramnya.
Ka Long, berkata walaupun dia sudah mengetahui perkara itu seminggu lebih awal, namun sehingga sekarang masih tidak dapat mempercayainya.
“Setiap orang ada impian mereka, Tat Meng memilih untuk meletakkan jawatan dan memikul tugas melatih pemain negaranya, kami tidak berhak untuk menyekatnya.
“Saya percaya ramai peminat badminton sudah mengetahui pasukan Zii Jia sudah mendapatkan Tat Meng sebagai ketua jurulatih, ini bermakna jawatan untuk jurulatih perseorangan lelaki di Hong Kong perlu diisi,” katanya.
Bagaimanapun, dia percaya mereka sepatutnya sudah mempunyai pengalaman yang cukup untuk berdepan situasi yang tidak dijangka seperti itu kerana pemain Hong Kong tidak mudah menyerah kalah dengan mudah.
Semalam, Zii Jia yang juga pemain perseorangan lelaki profesional negara mengumumkan Tat Meng bakal menyertai mereka sebaik proses perpindahannya dari Hong Kong selesai.
Zii Jia sejak lima bulan lalu bergerak tanpa khidmat jurulatih selepas dia berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.