Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi diumum sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu bagi menggantikan Tan Bin Shen.
Perkara itu diumumkan Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam dalam sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis di sini, hari ini.
Subramaniam berkata Herry, 62, akan menggalas tanggungjawab itu bermula 1 Februari ini.
Herry atau lebih mesra dikenali sebagai Herry Ip dipilih berdasarkan reputasi besarnya selaku jurulatih yang melahirkan deretan juara Olimpik dan dunia seperti Tony Gunawan – Candra Wijaya serta Hendra Setiawan – Markis Kido.
Dengan pelantikan Herry itu juga menyaksikan kem beregu lelaki kebangsaan akan mendapat sentuhan dua jurulatih dari Indonesia apabila Muhammad Miftah terlebih dahulu direkrut BAM, Februari tahun lalu.
Jawatan ketua jurulatih beregu lelaki negara kosong berikutan Bin Shen melepaskan jawatannya untuk bersama skuad badminton Hong Kong, Isnin ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.