Tumpuan :
Sukan

Jurulatih Mohd Poad tetap optimis kemampuan Khairul Hafiz Jantan

Poad tetap yakin kemampuan Khairul Hafiz menyerlah di Sukan Asia Hangzhou. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Meskipun prestasi semasa pelari pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan dilihat sedikit menurun, jurulatih pecut  negara Mohd Poad Md Kassim, nyata tidak gusar dengan keupayaan anak didiknya itu menyerlah di Sukan Asia, Hangzhou yang secara rasminya dibuka esok.

Pada Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini  yang menjadi  medan terakhir  buat barisan pelari pecut negara sebelum ke Sukan Asia, Khairul sekadar di tempat ketiga dengan kepantasan 10,57 saat.

Rakan pelatih Khairul, Muhammad Arsyad Md Saat menang emas dengan catatan 10.38 saat manakala seorang lagi pelari pecut negara Jonathan Nyepa, mendudukki tempat kedua mencatat masa 10.55 saat.

Tegas Poad, prestasi di Terbuka Jabar tidak boleh menjadi kayu pengukur kemampuan sebenar Khairul.

“Prestasi Khairul sebenarnya semakin baik, tapi ketika di Terbuka Jabar itu, dia nak jatuh masa permulaan larian, jadi ia sedikit mengganggu rentak lariannya dan seterusnya memberi kelebihan kepada mereka yang lain,” kata Poad.

Ditanya sama ada Khairul akan beraksi dalam acara 100m, menurut Poad,  tiada sebarang perubahan dalam senarai atlet yang mana pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu akan turun beraksi dalam acara riben biru bersama-sama jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Khairul sebelum ini mengakui masih lagi bergelut melepasi catatan bawah 10.20s sejak dia memecahkan rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.18s ketika meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.

Namun dia bertekad untuk memberi yang terbaik dalam acara 100m dan ingin membantu kuartet 4x100m mencetak rekod kebangsaan baharu sekali gus memadam catatan 49.09s yang dilakukan sewaktu Sukan SEA Hanoi di Vietnam tahun lalu.

Selain Khairul dan Azeem, dua lagi slot dalam kuartet 4x100m negara bakal menjadi rebutan antara Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan, Arsyad dan Russel Alexander Nasir Taib.

Loading...
Terkini