Tumpuan :
Sukan

Jurulatih Indonesia mohon maaf kepada beregu Malaysia

Jurulatih Indonesia, Eng Hian.

KUALA LUMPUR: Jurulatih Indonesia, Eng Hian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada beregu wanita utama Malaysia Pearly Tan-MThinaah, susulan kenyataan kurang menyenangkan pada Terbuka Perancis 2022, Khamis lalu.

Hian dalam satu klip video di laman Instagram memaklumkan, beliau sama sekali tidak berniat menyinggung atau melakukan perbuatan tidak menyenangkan kepada Pearly-Thinaah ketika perlawanan menentang anak buahnya, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi, pada pusingan kedua kejohanan itu di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

“Dengan segala kerendahan hati saya meminta maaf kepada pemain ganda puteri (beregu wanita) Malaysia Pearly Tan-M. Thinaah…sekali lagi dari hati yang paling dalam, saya mohon maaf atas ucapan tersebut,” katanya dalam klip berdurasi 36 saat itu.

Hian dalam satu klip yang tular di media sosial didakwa melabelkan warna kulit Pearly-Thinaah sebagai ‘hitam dan putih’, ketika sedang memberi arahan di tepi gelanggang kepada Febriana-Amalia.

Pearly-Thinaah yang juga gandingan bukan pilihan menumpaskan pasangan Indonesia itu 21-16, 21-14, sebelum melakar kejutan menumbangkan pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 15-21, 21-14, 21-14 pada peringkat suku akhir, semalam.

Juara Sukan Komanwel 2022 Birmingham itu akan berdepan pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee, bagi menentukan slot ke final dalam aksi separuh akhir hari ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini