Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BUKIT KIARA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mengesahkan sudah berbincang dengan lima hingga enam calon untuk mengisi kekosongan Ketua Jurulatih Beregu yang ditinggalkan Tan Bin Shen selepas ini.
Jurulatih dari Indonesia Herry Iman Pierngadi atau Herry IP disebut-sebut sebagai pengganti namun terdapat juga beberapa nama lain yang turut didekati.
“Saya bukan berhubung dengan Harry sahaja, saya ada bercakap dengan beberapa jurulatih antaranya Lee Wan Wah dan Yap Kim Hock, ada juga beberapa bekas pemain saya juga yang dahulu dan beritahu mereka bahawa kita mencari jurulatih lebih kurang begitulah,” kata Rexy kepada media selepas mengendalikan sesi latihan pasukan kebangsaan di ABM hari ini.
Bekas jurulatih kelab Granular di Thailand Koo Kien Kiat serta Tan Boon Heong yang memiliki akademi sendiri turut dipertimbang sebagai calon berpotensi sebaris dengan individu-individu berpengalaman lain.
Keputusan pelantikan dijangka diketahui minggu hadapan apabila pemangku Presiden Datuk V. Subramaniam memaklumkan satu mesyuarat exco dijadual berlangsung dalam masa terdekat.
Menjelang kempen Terbuka Malaysia pada 7 hingga 12 Januari ini, Rexy positif kemarau gelaran dialami pemain negara di hadapan penyokong sendiri sejak 2018 yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei dapat ditamatkan.
“Ada Izzuddin/ Sze Fei (Nur Izzuddin Mohd Rumsani/ Goh Sze Fei) yang selama ini berkeputusan positif, itu juga motivasi pemain kita seperti Aaron/ Wooi Yik (Aaron Chia/ Soh Wooi Yik) dengan Arif/ Roy King (Wan Mohd Arif/ Yap Roy King).
Ada Pearly/ Thinaah (Pearly Tan/ M. Thinaah), Tang Jie/ Ee Wei (Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei) cuma sayang selalu berjumpa awal dengan Pang Ron/ Su Yin (Hoo Pang Ron/ Cheng Su Yin) dan kalau tengok komitmen dan cara berfikir pemain, saya rasa kali ini kita mungkin boleh sekurangnya dapat satu gelaran.”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.