Tumpuan :
Sukan

Jun Hao mara ke suku akhir Terbuka Singapura

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mencipta sensasi di Terbuka Singapura.

Dia merekodkan kemenangan terbesar musim ini apabila menyingkirkan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia di pusingan kedua kejohanan, hari ini.

Jun Hao yang berada di kedudukan ke-36 dunia itu menampilkan aksi ‘kelas A’ untuk mengatasi jaguh Indonesia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, Anthony Sinisuka Ginting bagi mengesahkan tiket ke suku akhir.

Pada aksi di Stadium Tertutup Singapura itu, Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia bermula baik apabila menang 21-14 di set pertama.

Namun, Ginting kembali bangkit dengan permainan yang lebih kemas untuk memenangi set kedua 21-10 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Jun Hao bagaimanapun kembali mempamerkan ‘taringnya’ apabila mempamerkan dominasi pada aksi set ketiga dengan hanya ‘membenarkan’ Ginting mengutip lapan mata untuk melakar kemenangan 21-8 dalam tempoh 60 minit.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan sulung Jun Hao ke atas Ginting selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini – Terbuka Hong Kong 2023 dan Terbuka India 2024.

Ia akan menjadi penampilan kedua Jun Hao di suku akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas turut melakukannya di Masters Sepanyol, Mac lalu.

Pada saingan Masters Malaysia, minggu lalu, Jun Hao terkandas di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng.

Jun Hao akan menentang pemenang perlawanan antara juara Masters Malaysia yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan pemain Taiwan, Li Chun Yi bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini