PETALING JAYA: Selepas mengejutkan pilihan ke-6 dari Taiwan, Lin Chun Yi pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Sepanyol Masters semalam, perseorangan negara Leong Jun Hao berdepan satu lagi halangan sukar pada suku akhir malam ini.
Lawan Jun Hao malam ini juga dari Taiwan Chou Tien Chen, pilihan ke-3 kejohanan yang berada di ranking ke-15 dunia.
Bagaimanapun tidak mustahil buat Jun Hao melakar satu lagi kejutan berdasarkan persembahan bertenaganya ketika mengalahkan Chun Yi 21-17,21-18 dalam tempoh 36 minit semalam.
Jun Hao yang mendudukki ranking ke-37 dunia memulakan cabaran Sepanyol Masters Super 300 ini menewaskan pemain berpengalaman tuan rumah, Pablo Abian (65 dunia), 21-16, 21-18 dalam masa 38 minit. pada pusingan pertama.
Turut mengesahkan tempat ke suku akhir malam ini beregu lelaki, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King selepas bangkit menewaskan wakil Taiwan, Lu Chen-Pop Li Wei. 18-21,21-15, 24-22 dalam aksi sengit 63 minit.
Lawan mereka berikutnya, pilihan kelapan dari India, Arjun Madathil Ramachandran-Dhruv Kapila.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.