KUALA LUMPUR: Ng Tze Yong mengesahkan tempat ke separuh akhir badminton Terbuka Perancis.
Perseorangan lelaki negara itu mendapat kemenangan mudah selepas lawannya di suku akhir iaitu juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vittidsarn menarik diri.
Difahamkan, Kunlavut terpaksa membuat keputusan berkenaan disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya.
Berdasarkan keputusan tersebut, Tze Yong mara ke separuh akhir dan akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara pemain China, Li Shi Feng dengan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, Tze Yong yang menghuni ranking ke-18 dunia tewas semua empat perlawanan di tangan Shi Feng sebelum ini manakala dia turut tewas kepada Ginting dalam satu-satunya pertemuan mereka ketika Terbuka Australia tahun lalu.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua Tze Yong berjaya mara ke separuh akhir musim ini selepas kejayaannya muncul naib juara di Terbuka Artik di Vantaa, Finland, dua minggu lalu.
Pada aksi final kejohanan itu, dia tewas di tangan rakan senegara, Lee Zii Jia yang merekodkan gelaran sulungnya musim ini.