PETALING JAYA: Teka teki siapakah bakal menerajui skuad bola sepak bawah 23 tahun negara terjawab apabila Persatuan Bola sepak Malaysia, FAM mengesahkan Juan Torres Garrido selaku ketua jurulatih mengisi kekosongan yang ditinggalkan E Elavarasan yang melepaskan jawatan 18 September lalu.
Bagaimanapun pelantikan Garrido yang berusia 43 tahun dari Sepanyol itu, tidaklah begitu mengejutkan kerana dia sebelum ini berperanan sebagai penolong ketua jurulatih skuad B-23 bagi membantu Elavarasan sejak September tahun.
“Sudah pasti kami akan memberi fokus kepada kejohanan yang akan datang yang mana ia sangat penting kepada pasukan dan FAM, kami akan cuba buat yang terbaik termasuk dari segi persiapan,” kata Garrido dalam sidang media siang tadi.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan pelantikan Garrido dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk mendapatkan pandangan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
FAM turut mengumumkan pelantikan bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan yang baharu bagi membantu Garrido.
Shukor mengatasi tiga bekas pemain kebangsaan yang turut melalui proses temuduga bagi jawatan itu termasuk Nidzam Jamil, Rusdi Suparman dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
“Saya fikir Shukor dapat memberi sumbangan yang baik berdasarkan keupayaannya selain dia juga menjadi inspirasi kepada pemain,” kata Garrido yang pernah memikul tugas sebagai ketua pencari bakat bagi FC Barcelona untuk kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020, sebelum dia menjadi ketua bola sepak remaja profesional (B-23) kelab Granada CF di Sepanyol dari 2021 hingga 2022.
FAM bagaimanapun menjelaskan belum ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan ke atas Garrido.