LONDON: Bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson muncul pemain Inggeris dengan gaji termahal sepanjang zaman selepas memuktamadkan perpindahan berprofil tinggi ke Al-Ettifaq.
Henderson mengesahkan dia meninggalkan Liverpool selepas 12 tahun di Anfield dan perpindahan itu akhirnya disahkan malam tadi dan akan menyertai bekas kapten Steven Gerrard yang kini mengendalikan kelab Liga Pro Saudi itu.
Sebelum pengesahan itu, dia terlebih dahulu turun berlatih dengan rakan sepasukan baharunya.
Henderson berlepas ke Croatia untuk memuktamadkan perpindahan itu dan kini menandatangani kontrak yang menyaksikannya menerima gaji lumayan £700,000 (RM4.07 juta) seminggu dengan Liverpool turut menerima £12 juta (RM69.8 juta) ketika dia masih berbaki dua tahun dalam kontraknya.
Sehubungan itu, pemain kebangsaan England itu akan menerima gaji lumayan £36 juta (RM209.5 juta) setahun dan lebih £100 juta (RM582 juta) jika dia memenuhi semua tiga tahun kontraknya.
Tidak mengejutkan, Henderson melonjak ke tangga teratas senarai pemain England dengan bayaran gaji tertinggi.
Dia kini mengungguli carta itu dengan perbezaan lebih £325,000 (RM1.89 juta) seminggu berbanding pencabar terdekatnya dan jauh daripada apa yang diterima Jude Bellingham di Real Madrid.
Di belakang Henderson adalah Marcus Rashford, yang mana perjanjian baharu menyaksikannya menerima gaji £375,000 (RM2.18 juta) seminggu di Old Trafford, ganjaran diterimanya selepas kempen cemerlang pada 2022-23 yang mana dia menyumbat 30 gol serta 11 umpanan gol dalam semua pertandingan.
Di tangga ketiga rakan sepasukan Rashford, Jadon Sancho dengan gaji £350,000 (RM2.03 juta) seminggu, diikuti Raheem Sterling dengan £325,000 (RM1.89 juta) seminggu dan bintang Manchester City, Jack Grealish, yang menandatangani kontrak £300,000 (RM1.74 juta) seminggu ketika tiba di Etihad pada tahun 2021.
Mason Mount, Declan Rice, John Stones, Reece James dan Phil Foden semuanya menerima £250,000 (RM1.45 juta) seminggu sekali gus berkongsi tangga keenam dalam senarai.
Di belakang mereka pula Bellingham dengan kontrak £220,000 (RM1.28 juta) seminggu di Bernabeu dan yang ke-12 dalam senarai kapten England, Harry Kane, yang membawa pulang £200,000 (RM1.16 juta) seminggu di Tottenham. – AGENSI