KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan kesediaan untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan memperkukuh jentera serangan mereka.
Terbaru, kelab itu mengumumkan kehadiran bekas penyerang Valencia, Jonathan Viera, sebagai tambahan baharu dalam skuad mereka.
Viera, pemain kelahiran Sepanyol berusia 35 tahun, menjadi import kedua yang dibawa masuk untuk saingan peringkat Asia selepas pertahanan Alvaro Gonzalez.
Gonzalez, yang sebelum ini beraksi bersama Cristiano Ronaldo di Al Nassr, diharapkan dapat memperkukuhkan benteng pertahanan JDT.
“Penantian sudah berakhir! Jonathan Viera sudah tiba! Selamat datang ke Johor Darul Ta’zim (JDT)!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selain Viera dan Gonzalez, Harimau Selatan turut mengumumkan ketibaan Roque Mesa bagi memperkuat posisi tengah pasukan.
Kehadiran Mesa menyaksikan dia kembali bergandingan dengan Jordi Amat, bekas rakan sepasukannya di Swansea City.
Dengan ketibaan tiga pemain import dari Sepanyol ini, JDT jelas memiliki strategi besar untuk memberi saingan sengit di ACLE, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena bola sepak Asia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.