comscore
Tumpuan :
Sukan

Jojo tumbangkan Tabares dalam masa 36 saat

Johan (dua dari kiri) berjaya kalahkan juara Muay Thai Antarabangsa WBC. – FOTO: Ihsan One Championship

KUALA LUMPUR: Jaguh remaja Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai ‘Jojo’ mencuri tumpuan apabila hanya memerlukan 36 saat mengalahkan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares pada  pusingan pertama pertarungan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand hari ini.

Dalam pertarungan itu, Jojo terus menyerang sebaik perlawanan dimulakan dengan melepaskan beberapa tumbukan tepat di muka dan tulang rusuk sehingga lawannya jatuh serta sukar untuk bangun semula bagi meneruskan perlawanan.

Bagi Jojo, kejayaan ini sebagai permulaan dan selepas ini dirinya sedar lebih besar cabaran yang harus dihadapi namun dia sudah bersedia ke arah itu.

“Ia menakjubkan. Saya berada di pentas besar sekarang dan ini adalah permulaan, banyak lagi pertarungan besar akan datang.

“Saya akan ambil masa saya, langkah demi langkah. Nama saya Johan dan dalam bahasa Melayu ia bermakna juara.

“Saya akan meneruskan misi saya untuk menjadi juara termuda One Championship Muay Thai,” katanya.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama atlet berusia 17 tahun menewaskan lawannya di bawah seminit.

Jaguh Thailand, Padetsuk Fairtex juga pernah menjadi mangsa Jojo apabila tewas KO pertarungan Flyweight Muay Thai dalam masa 0.16s sahaja sebelum ini.

Loading...
Terkini