Tumpuan :
Sukan

Jojo catat kemenangan ketiga berturut-turut

Muhammad Johan Ghazali Zulfikar. Foto The Borneo Post/FB Johan Ghazali.

PETALING JAYA: “Saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi.”

Itu azam jaguh Muay Thai Malaysia berasal dari Sarawak, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sebaik menundukkan jaguh Thailand, Samurai Seeopal di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok malam tadi.

Johan 16 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo mengakui dia akan lebih gembira jika menang secara ‘knockout’.

Namun kerana Samurai 18 tahun dapat bertahan sehingga tamat pertarungan, juri memberikan Jojo kemenangan secara ‘sebulat suara’.

Keputusan itu agak jelas dengan Jojo berjaya melakukan beberapa serangan jitu terutama menerusi tumbukan padu dan ‘uppercut’ dalam semua tiga pusingan dalam perlawanan itu.

Tambah Jojo, jika petinju lain, mereka mungkin sudah tumbang selepas menerima tumbukannya.

Dalam dua pertarungan profesionalnya di ONE Championship sebelum ini, Jojo menang secara ‘knockout’ berdepan petinju Thailand, Tai Sor Jor Piek pada 26 Mei lalu dan pada 24 Februari lalu dengan menundukkan seorang lagi jaguh Thailand, Padetsuk Fairtex hanya ketika permainan baharu 16 saat berlangsung.

Loading...
Terkini