Tumpuan :
Sukan

Jojo buru status jaguh nombor satu dunia

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bintang muda muay thai negara,  Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kini mula menyusun langkah bagi bergelar jaguh nombor satu dunia  selepas menerima kontrak untuk bertarung dalam ONE Championship, Oktober lalu.

Johan, 17, yang dikenali dengan nama julukan Jojo, berkata status itu menjadi buruannya supaya dia dapat meninggalkan legasi yang besar sekali gus melonjakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sudah tentu saya mahu menjadi nombor satu dunia dalam kategori yang saya sertai (flyweight). Saya mahu menjadi terkenal di seluruh dunia seperti Ronaldo kerana dia adalah pemain terhebat sepanjang zaman.

Foto: NSTP

“Kalau tidak mahu menetapkan sasaran menjadi nombor satu dunia, lebih baik saya tidak teruskan dalam sukan muay thai ini,” kata Johan.

Jelas Johan, dia menyasarkan untuk bertarung dalam empat atau lima perlawanan bagi musim 2024 dalam saingan One Championship dalam usaha melonjakkan lagi namanya di pentas dunia.

Bagaimanapun, katanya, pertarungan hanya akan diatur selepas dia tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac depan.

“Sekarang saya fokus untuk menduduki peperiksaan SPM dahulu. Namun, selepas habis nanti, saya sasarkan untuk bertarung sekurang-kurangnya empat atau lima perlawanan pada 2024,” jelas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuching itu.

Johan dilahirkan di Putrajaya, yang juga bekas juara muay thai remaja dunia, percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk dia mencapai impian besarnya itu dengan bimbingan daripada jurulatih berpengalaman dari Thailand, Addy Sipangyak.

Loading...
Terkini