Tumpuan :
Sukan

Jojo buru kemenangan ketujuh, misi tumbangkan Estupinan

Sensasi muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (kiri) dan jaguh Colombia, Johan Estupinan ketika sidang media menjelang pertarungan ONE 170 di Impact Arena di Bangkok, Thailand. – Foto ONECHAMPIONSHIP

KUALA LUMPUR: Sensasi muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yakin mampu menumbangkan jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam pertarungan ONE 170 di Impact Arena di Bangkok, Thailand, esok.

Johan, 19, yang mesra disapa Jojo berkata, dia tidak gentar dengan rekod cemerlang lawannya itu yang masih belum pernah tewas dalam pertarungan ONE Championship setakat ini.

“Estupinan memang pantas, tetapi kepantasan dapat dikalahkan dengan ketepatan waktu dan ketepatan lebih penting daripada kekuatan.

“Jadi, saya rasa satu perkara tentang Estupinan adalah dia sering terkena pukulan dalam hampir setiap pertarungan.

“Saya tidak akan menjadi orang yang akan kalah knockout (KO),” kata Johan yang lengkap berbaju melayu berserta samping dalam sidang media menjelang pertarungan menentang Estupinan, semalam.

Johan turun dengan misi memburu kemenangan ketujuh daripada lapan penampilan dalam ONE Championship.

Dalam pertarungan terakhirnya di ONE Championship, Jojo bangkit daripada kekalahan di tangan Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dengan kemenangan KO ke atas jaguh Mexico, Josue Cruz pada ONE 168: Denver di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat, September tahun lalu.

Kemenangan itu bukan sahaja memperbaiki rekodnya dalam ONE Championship kepada 6-1, malah Johan turut membawa pulang bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM222,000).

Bagaimanapun, cabaran menanti Johan kali ini tidak mudah.

Estupinan, 23, yang diberi julukan “Panda Kick” dan memegang rekod sempurna 25-0, turut mencipta nama sebagai bintang muda berbisa dengan empat kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship, termasuk tiga kemenangan KO.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini