PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Johor, mengisytiharkan hari Ahad, 17 Disember 2023, sebagai Hari Cuti Khas Peristiwa tanda penghargaan kepada rakyat negeri itu atas sokongan kepada Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah melakar sejarah tersendiri dalam arena bola sepak negara dan juga meraikan kejayaan JDT menjulang Piala Malaysia malam semalam.
“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 17 Disember 2023, sebagai Hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor.
“Pemberian Cuti Khas Peristiwa ini selain bertujuan meraikan kejayaan gemilang Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) , malah merupakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Negeri Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), ” menurut kenyataan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, hari ini.
JDT melakar sejarah gemilang bola sepak negeri Johor apabila menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-10 berturut-turut, suatu dekad dominasi JDT dalam kancah bola sepak negara.
Malah JDT turut mencipta sejarah, mengulangi kejayaan tahun lalu apabila memenangi kesemua empat piala yang dipertandingan bagi musim 2023 iaitu Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), Piala FA, Piala Liga Super dan Piala Malaysia.
Justeru pada 16hb Disember 2023, Sabtu, jam 8.30 malam, akan diadakan sambutan meriah bagi meraikan peristiwa bersejarah tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, selepas perlawanan menentang Penang FC, iaitu perlawanan terakhir JDT dalam kancah Liga Super musim ini.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].