JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan berbincang dengan Majlis Sukan Negeri Johor berhubung ganjaran untuk atlet negeri itu yang meraih pingat pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah memberi bayangan ganjaran yang akan diberikan adalah memadai sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara dan Johor.
Beliau berkata seramai 66 atlet Johor menyertai temasya sukan itu antaranya membabitkan olahraga, perahu, pencak silat, bola tampar, bola keranjang, badminton, berbasikal dan akuatik.
“Kerajaan negeri juga telah memberikan bantuan awal sebanyak RM1,000 kepada semua atlet, bagi pemenang-pemenang pula nanti jumlahnya akan dibincang dengan MSNJ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.
Justeru Mohd Hairi berharap kesemua atlet terbabit dapat membantu menyumbang pingat untuk negara.
“Bagaimanapun mengenai sasaran emas kami letakkan kepada ketua kontinjen dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebagai kerajaan negeri kita sentiasa memberikan sokongan kepada atlet-atlet,” katanya.
Mohd Hairi berkata beliau bersama rombongan kerajaan negeri juga akan berlepas ke Kemboja pada 15 hingga 18 Mei ini bagi memberikan sokongan kepada pasukan negara dan atlet dari negeri itu.
Seramai 677 atlet negara menyertai temasya dwitahunan tersebut kali ini yang menyasarkan 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa dibawa pulang dari Kemboja.
Sukan SEA yang masuk edisi ke-32 itu yang bermula semalam dijadual berakhir pada 17 Mei ini. — BERNAMA