KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar terpaksa akur gagal dalam misi meleburkan rekod tanpa kalah jaguh Colombia, Johan Estupinan.
Bintang muda negara berusia 18 tahun itu yang mesra disapa Jojo tewas menerusi keputusan sebulat suara selepas tamat tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight ONE 170, sebentar tadi.
Pada pertarungan yang berlangsung di Impact Arena di Bangkok, Thailand itu, Johan bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada lawannya itu dalam usaha memburu kemenangan ketujuhnya dalam ONE Championship.
Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung tampil dengan aksi berhati-hati tetapi Johan berjaya menjatuhkan Estupinan menerusi tumbukan di bahagian muka lawannya itu.
Bagaimanapun, Estupinan yang diberi julukan ‘Panda Kick’ tampil dengan aksi lebih agresif di pusingan kedua yang menyaksikan tumbukan di bahagian muka berjaya merebahkan Johan.
Dalam pusingan ketiga, Estupinan dilihat lebih klinikal dengan pukulannya dan berjaya memberikan tumbukan yang menyebabkan Johan mengalami luka di kening.
Estupinan dinobatkan sebagai pemenang selepas loceng terakhir dibunyikan.
Kemenangan itu menyaksikan Estupinan melebarkan rekod tanpa kalahnya dalam ONE Championship kepada 5-0 selepas menang empat pertarungan sebelum ini termasuk tiga kemenangan KO.
Johan pula mengalami kekalahan kedua dalam lapan pertarungan selepas turut tewas di tangan jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat pada Jun tahun lalu.
Dia bagaimanapun berjaya bangkit tiga bulan selepas itu selepas menumbangkan jaguh Mexico, Josue Cruz menerusi knockout (KO) pada ONE 168 di Colorado, Amerika Syarikat untuk kemenangan keenamnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.