Tumpuan :
Sukan

Johan cabar Estupinan bertarung semula hujung tahun ini

Johan melepaskan tumbukan kepada Estupinan pada pertarungan kategori flyweight ONE 170 yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand kelmarin. – FOTO ONE CHAMPIONSHIP

SEPANG: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sedia mengadakan pertarungan semula menentang Johan Estupinan, hujung tahun ini.

Menurut Johan atau mesra dipanggil Jojo, dia tidak gentar untuk bertarung buat kali kedua namun perlu meningkatkan lagi prestasi dan beberapa kemahiran taktikal agar kemenangan memihak kepadanya.

“Saya ingin mengadakan perlawanan semula dengan Estupinan sebab kalau kita kalah, mesti kita nak menang semula.

“Mungkin paling cepat perlawanan selepas ini atau hujung tahun ini. Tapi rasanya lebih baik sekiranya hujung tahun ini. Dari segi fizikal dan mental, semua sudah 100 peratus. Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah.

“Sukan muay thai memang macam itu. Kalau kita leka separuh saat, ia mampu mengubah keseluruhan perlawanan itu. Jadi tak apa, Insya-Allah perlawanan seterusnya, kita akan tukar pula (taktikal dan strategi),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Selain itu, petarung muda itu juga sudah melakukan pelbagai persiapan sebelum perlawanan dan mencari strategi terbaik untuk menumbangkan lawannya kerana tahu mereka tidak akan beraksi secara dekat bagi mengelak tumbukan padunya.

“Jojo rasa banyak sudah peningkatan, cuma lawan Jojo pun bukan orang biasa-biasa. Sudah pasti, selepas ini saya akan lebih fokus pada tangan, kaki, siku dan keseluruhan badan.

“Jojo sudah jangka sebab bila lawan yang selalu jumpa Jojo, mereka akan lebih gunakan strategi (bermain jarak) jauh. Cuma Jojo tak jangka pusingan kedua kena knockdown.

“Itu yang tidak dijangka langsung sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, hasrat Jojo untuk menumbangkan Estupinan gagal menerusi keputusan sebulat suara selepas tamat tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight ONE 170 yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand kelmarin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini