Tumpuan :
Sukan

Joehari Presiden baharu, Dollah dan Zainal kini dalam pengurusan tertinggi FAM

(Dari kiri) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan.

SUBANG: Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub secara rasmi diumum sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu, hari ini.

Mohd Joehari menang tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan nombor satu itu pada kongres pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung, di sini.

Beliau yang sebelum ini menggalas tugas sebagai naib presiden turut menjadi individu pertama dari Sabah menerajui badan induk bola sepak negara.

Mohd Joehari menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018.

Ia sekali gus menjadikan Mohd Joehari sebagai Presiden kelapan sejak 1951.

Dua timbalan presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram pula mempertahankan jawatan mereka apabila turut diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi nombor dua itu.

Sementara itu, hasrat peminat untuk melihat legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berada dalam pengurusan FAM akhirnya menjadi kenyataan.

Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya memenangi jawatan naib presiden selepas mendapat 16 undi daripada ahli gabungan pada kongres pemilihan badan induk itu, hari ini.

Tiga lagi kerusi naib presiden diisi Datuk Seri Rosmadi Ismail yang mendapat 17 undi, N Saaran (13 undi) dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi), sekali gus mengenepikan Syed Yazid Syed Omar yang meraih sembilan undi.

Juga menjadi perhatian adalah seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang diumum pemenang salah satu daripada lapan kerusi ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) FAM.

Bekas pengendali Selangor dan Pahang itu mendapat 18 undi, sekali jumlah undian tertinggi dalam kalangan 14 calon yang bertanding bagi jawatan EXCO.

Dalam pada itu, Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah mengekalkan kedudukan mereka di kerusi EXCO Wanita.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini