
ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menuntut barisan pemainnya memberikan segala-galanya apabila melayan kunjungan Buriram United FC pada aksi kedua timbal balik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Bidoglio mengakui hanya kemenangan membolehkan Harimau Selatan mencipta sejarah bola sepak Malaysia dengan mara ke suku akhir.
Bagaimanapun, dia tetap berwaspada dengan pendekatan taktikal kelab dari Thailand itu.
“Pemain perlu memberikan segalanya dengan beraksi secara matang dan menjiwai perlawanan ini tanpa berasa gentar.
“Mereka juga perlu elak melakukan kesilapan dan sentiasa fokus mengikut perancangan taktikal.
“Kami sudah bersedia dengan apa jua situasi sama ada bermain dalam tempoh 90 minit perlawanan atau tambahan masa 30 minit termasuk penentuan sepakan penalti. Apapun fokus kami tetap mahu menamatkan permainan sepanjang 90 minit tanpa tambahan masa,” katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.
Bidoglio juga mengesahkan pemain pertahanan JDT, Park Jun Heong masih belum pasti boleh diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi pertama di Stadium Chang, Arena, 4 Mac lalu.
Dalam pada itu, pengendali Buriram United FC, Osmar Loss Vieira mengakui skuad kendaliannya akan berdepan cabaran sukar di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
“Kami sedar ada cabaran yang perlu diharungi malah ini perlawanan ketiga membabitkan Buriram dan JDT dengan kedua-dua pasukan sudah mengenali corak permainan masing-masing.
“Memandangkan ia perlawanan kalah mati, saya tidak menafikan bukan sahaja kedua-dua pasukan tampil dengan pendekatan taktikal tetapi juga menyaksikan pertembungan fizikal.
“Ketika ini tiada pemain saya yang berdepan kecederaan dan kami sudah membuat persiapan sepanjang seminggu sebelum tiba ke Johor Bahru bagi merancang strategi untuk berdepan JDT,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.