KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun, Perancis mara ke final Piala Dunia Hoki Remaja menewaskan Sepanyol 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.
Pada perlawanan akhir Sabtu ini, Perancis akan menentang Jerman, sekaligus mengimbas pertemuan kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir di New Delhi pada 2013 yang menyaksikan Jerman menang 5-2.
Menentang Sepanyol pada separuh akhir, Perancis yang meraih penamat ketiga pada edisi dua tahun lalu di Bhubaneswar, dilihat garang di awal permainan apabila di depan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Brieuc Delemazure.
Bagaimanapun Sepanyol menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti minit ke-15 yang disempurnakan Aleix Bozal.
Awal babak kedua, Perancis memperoleh gol kedua menerusi jaringan Stanislas Branicki di minit ke-33.
Perancis yang dibimbing Matthias Dierckens, melengkapkan kemenangan 3-1 pada minit ke-42 selepas Louis Haertelmeyer menolak masuk bola ke penjuru kanan gawang gol lawan.
Terdahulu Jerman mara ke pentas final selepas menewaskan juara edisi 2016 yang juga gergasi Asia, India 4-1 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Jerman dengan rekod kejuaraan tertinggi, iaitu sebanyak enam kali, mengawal permainan sejak mula apabila Ben Hasbach menjaringkan gol sulung pada minit kelapan.
India pasukan nombor tiga dunia, bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi gol padang Sudeep Chirmako.
Jerman sekali lagi mendahulu hasil ketajaman tindakan penyudah Hasbach kali ini menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30.
Naib juara edisi lalu selepas tewas kepada Argentina 2-4, mengukuhkan kedudukan apabila Paul Glander menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.
Hasrat , India untuk bangkit dilenyapkan Florian Sperling untuk memastikan kemenangan 4-1 Jerman.
Perlawanan akhir Perancis – Jerman dijadual berlangsung jam 8.30 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, manakala penentuan tempat ketiga Sepanyol – India, jam enam petang pada hari sama.